Thursday, 17 July 2014

Berak berdarah adalah buasir?

Masyarakat adakala malu atau segan untuk membincangkan topik yang berkaitan dengan najis. Bagi sesetengah golongan isu ini adalah rahsia dan tidak patut dikongsikan bersama. Malah ada yang menyimpan ‘rahsia’ kejanggalan najis mereka sehingga ianya mendatangkan kesan yang mudarat kepada diri mereka sendiri. Ada juga pesakit yang sering membeli ubat di farmasi dengan mempunyai persepsi berak berdarah adalah hanya buasir dan itu adalah normal. Malangnya persepsi pesakit sering salah, pemeriksaan lanjut oleh doktor adalah disarankan bagi mengelakkan komplikasi. Satu kajian populasi yang dilakukan di Australia menunjukkan 47% pesakit merasakan berak berdarah itu tidak perlu dirisaukan. Malahan 37% populasi kajian tidak pernah melihat warna najis sendiri dan 43% membuat rawatan sendiri sebelum mendapatkan nasihat doktor.
Saya temui darah dalam najis saya. Mengapa?
Ada banyak sebab mengapa berlaku pendarahan di dalam najis. Apa yang para doktor akan lakukan ialah bermula dari mengambil sejarah terperinci berkenaan dengan cara pembuangan najis pesakit.
  1. Buasir (haemorrhoid) – secara amnya buasir disebabkan oleh luka yang berlaku dari pembuluh darah yang menjadi kusyen bagi di bahagian anus (lubang dubur). Pendarahan sering berlaku bagi pesakit yang mempunyai sejarah sembelit atau kesukaran untuk membuang najis. Darah dari buasir selalunya adalah darah merah yang segar (fresh) beserta dengan menitis-nitis sesudah selesai pembuangan najis. Darah tidak akan bercampur dengan najis. Kadang kala pesakit dapat merasakan kehadiran benjolan-benjolan (bengkak) licin di lubang dubur. Pesakit kadang kala merasakan kegatalan dan sakit di kawasan dubur.
  2. Divertikulum – Ini adalah poket-poket kecil yang terdapat marata-rata di usus besar. Pendarahan yang berlaku selalunya darah yang segar kadang kala berketul seperti pendarahan haid di kalangan wanita. Pesakit akan mengatakan bahawa mereka ke tandas untuk membuang air besar tetapi yang keluar adalah darah segar, tiada najis. Kadangkala pesakit akan mengadu selalu sembelit untuk ke tandas.
  3. Kanser – Kanser usus adalah kanser yang ketiga tertinggi dikalangan pesakit di Malaysia. Tanda- tanda awal ialah berak berdarah yang tidak mendatangkan sebarang kesakitan sewaktu membuang najis. Darah akan bercampur dengan najis. Pesakit kadangkala ada pertukaran dari segi tabiat membuang air besar – sembelit berpanjangan, cirit beserta darah, sering ke tandas untuk membuang air besar tapi tiada (tenesmus).
  4. Luka di anus (anal fissure) – Pesakit yang mempunya masalah sembelit boleh mendapat luka dibahagian anus. Sering kali darah daripada luka ini adalah darah merah segar beserta dengan sakit di anus dan selalunya pendarahan akan berhenti sendiri. Pesakit selalunya mengenalpasti pendarahan ini apabila membersihkan dubur dengan tisu di akhir pembuangan najis.
  5. Polip – ini adalah ketumbuhan “daging” yang boleh terdapat di sepanjang usus. Pendarahan yang berlaku bergantung kepada lokasi polip. Semakin dekat dengan dubur, semakin merah segar pendarahan yang berlaku. Sesetengah polip adalah ketumbuhan yang berpotensi untuk menjadi kanser (bergantung kepada ujian biopsi)
  6. Angiodisplasia – adalah pembuluh darah kecil yang tidak normal boleh terdapat di seluruh kawasan usus. Pembuluh darah ini boleh luka dan menyebabkan berak berdarah. Variasi jenis pendarahan dari merah segar ke kehitaman bergantung kepada lokasi pembuluh darah ini.
  7. Keradangan usus (proctitis / colitis) – secara amnya keradangan boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman. Pesakit akan mengadu cirit bercampur dengan darah atau najis yang lembut diselaputi darah.
  8. Ubat – beberapa jenis ubat boleh menyebabkan pendarahan seperti ubat pencair darah – warfarin dan aspirin.
Source: http://colorectalsurgeonssydney.com.au
Sumber: http://colorectalsurgeonssydney.com.au
Apa yang akan doktor lakukan selepas itu?
Sesudah mengambil sejarah terperinci berkenaan dengan masalah pesakit, doktor akan melakukan pemeriksaan di dalam klinik.
  1. Abdomen – Para doktor akan memeriksa abdomen (perut pesakit) untuk merasakan sebarang ketumbuhan atau benjolan/bengkakan.
  2. Pemeriksaan dubur – Doktor akan memeriksa sekitar kawasan dubur untuk melihat sebarang ketumbuhan (buasir – haemorrhoid, kanser), luka (anal fissure). Kemudian doktor akan memasukkan jari ke dalam lubang dubur untuk merasa sebarang ketumbuhan (terhad kepada 7cm pertama dari bibir anus) dan selesai pemeriksaan doktor akan melihat warna najis yang melekat pada sarung tangan. Ini akan memberi petunjuk kepada doktor untuk membuat diagnosis.
  3. Proktoskopi – Satu alat dalam lingkungan 2cm diameter untuk melihat dalam lubang dubur – terhad kepada 8cm dari bibir anus. Gel akan diletakkan di alat ini bagi mengelakkan kesakitan kepada pesakit.
Source: http://www.steinergraphics.com
Sumber: http://www.steinergraphics.com
Adakah pemeriksaan di klinik memadai atau saya perlu ujian lanjut?
Jika berpandukan kepada sejarah yang diberikan pesakit dan pemeriksaan yang dijalankan, doktor dapat mengenal pasti punca berak berdarah sama ada buasir atau luka (fissure), rawatan boleh diberikan serta merta. Walau bagaimanapun jika masalah berulang atau anda adalah dikalangan pesakit yang berisiko tinggi mempunyai kanser terutamanya atau pendarahan yang tidak dapat dikenal pasti puncanya, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor pakar bedah.
Rawatan lanjut yang membolehkan doktor pakar melihat kedalam usus besar pesakit adalah endoskopi – colonoskopi atau sigmoidoskopi. Ini adalah satu alat berbentuk tiub dalam diameter 1.5 cm yang mempunyai kamera dihujung tiub bagi membolehkan doktor pakar melihat ke dalam usus besar. Ujian ini membolehkan punca pendarahan dikenal pasti sehingga ke tahap terminal ileum (sambungan usus besar ke usus kecil) untuk colonoskopi dan ke tahap sigmoid bagi sigmoidoskopi. Rawatan susulan adalah bergantung kepada laporan colonoskopi atau sigmoidoskopi.
Selain daripada ujian endoskopi, darah pesakit juga akan diperiksa untuk membantu rawatan susulan dalam mendapatkan diagnosis.
Sumber: http://greatlakesgastroenterology.com
Sumber: http://greatlakesgastroenterology.com
Saya temui darah ketika membuang air besar. Apa perlu saya lakukan?
Anda boleh temui doktor keluarga anda yang berdekatan jika pendarahan itu adalah sedikit. Doktor akan memeriksa anda sepertimana yang dinyatakan di atas. Bergantung kepada diagnosis yang telah dibuat oleh doktor, akan menentukan sama ada anda memerlukan rawatan pakar atau rujukan ke hospital berdekatan. Tetapi jika pendarahan yang berlaku adalah banyak sehingga menyebabkan anda merasa pening, keletihan atau anda mempunyai tanda-tanda lain yang mencurigakan seperti kesusahan membuang air besar berlarutan, cirit birit berpanjangan anda dinasihatkan untuk mendapatkan rujukan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dr. Ruhi Fadzlyana adalah seorang pakar bedah yang sedang bekerja di sebuah hospital di Kuala Lumpur. 
Rujukan:

No comments:

Post a Comment

Any comment?