Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita amat memerlukan rezeki dalam meneruskan hidup.Tanpa rezeki manusia tidak boleh hidup.
Tetapi persoalannya ialah di mana terletaknya pintu rezeki? Dan bagaimana ingin membukanya?
Sebagai umat Islam kita tahu bahawa Allah adalah Maha Pemberi Rezeki. Tanpa izin Allah, kita tidak akan dapat meraih rezeki dariNya.
Tetapi dalam usaha kita untuk mendapat rezeki, apakah kriteria-kriteria yang Allah inginkan supaya rezeki itu sampai kepada kita?
Apakah perbezaan antara rezeki yang diberkati dan tidak diberkati?
ALLAH MAHA PEMBERI REZEKI
Kita mengetahui bahawa Allah itu bersifat ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki). Allah menjamin rezeki setiap makhluknya. Setiap rezeki ada ujiannya. Bukanlah ujian itu bersifat bala, tetapi sebagai pengajaran buat hamba-hambaNya untuk lebih berusaha dan menjadi lebih berkualiti.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pembuka Rezeki dan Allah juga boleh menutup rezeki makhlukNya.
ISTIGHFAR PEMBUKA REZEKI
Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka,”(HR.Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad).
Berdasarkan hadis di atas jelas pada kita bahawa salah satu kunci pembuka rezeki adalah istighfar, yang bermaksud memohon ampun.
Dengan melazimi istighfar, seseorang itu akan dibukakan pintu rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.
DOSA PENUTUP REZEKI
Rasulullah s.a.w bersabda,”Sesungguhnya seorang hamba boleh tertahan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.” (HR.Ahmad, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah).
Hadis ini menunjukkan pada kita bahawa tertahannya rezeki itu adalah berpunca dari dosa yang kita lakukan.
Dosa itu bersifat negatif. Dan rezeki itu bersifat positif. Rezeki itu terhalang dek kerana dosa yang dilakukan.
Dosa-dosa seperti meninggalkan solat, mengumpat, memfitnah, menolak hukum Allah secara terang-terangan, dan sebagainya menjadi punca kenapa rezeki itu tersekat.
Dan penyelesaian bagi menghapus dosa yang kita lakukan ialah dengan perbanyakkan istighfar.
ISTIDRAJ
Kadang-kadang kita terfikir bagaimana masih terdapat orang yang dilimpahi rezeki yang banyak sedangkan dia banyak melakukan maksiat dan kejahatan. Rasululullah saw bersabda:
Apabila kamu melihat bahawa Allah swt memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah swt. “(Diriwayatkan oleh at-Tabrani).
Jelas pada hadis di atas bahawa jika seseorang itu diberi rezeki sedangkan dia berdosa itu tandanya dia sudah diistidrajkan oleh Allah swt.
Istidarj bermaksud pemberian nikmat Allah swt kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya.
Maka berawasilah setiap muslim akan istidraj ini. Jangan biarkan diri kita diistidrajkan oleh Allah
SOLAT DHUHA
Solat dhuha juga merupakan kunci bagi pintu rezeki. Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan solat dhuha.
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk AKu di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya” (Riwayat Ahmad).
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita untuk mengerjakan solat Sunat Dhuha yang faedahnya Allah swt memberi jaminan terhadap keperluan-keperluan manusia pada setiap hari.
Rasulullah saw juga bersabda:
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah ats tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh buat baik satu sedekah dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mnegerjakan dua rakaat solat sunat dhuha. “ (Riwayat Bukhari dan Muslim)
TAQWA DAN PEMBUKA REZEKI
Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. - (Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)
Ayat ini juga terkenal dengan nama ayat seribu dinar. Daripada ayat ini, ia menjelaskan kepada kita bahawa dengan menjadi orang yang bertaqwa,maka baginya rezeki yang tidak disangka-sangka, dikeluarkan daripada sebarang kesempitan dan dicukupkan baginya segala keperluan.
Maka marilah kita bertaqwa pada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa.
Allah sudah memberi jaminan yang jelas buat hamba-hambaNya bahawa dengan menjadi hamba yang bertaqwa dan beramal solah, Allah akan memberikan rezeki dan mencukupkan segala keperluan hidupnya.
Dan sudah tentu kelapangan hati dan kebahagiaan dunia dan akhirat kita harapkan.
PENUTUP
Sebagai pengajaran pada topik ini:
1. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pemberi Rezeki.
2. Untuk membuka pintu rezeki, beberapa syarat perlu dipenuhi.
3. Rezeki terhalang kerana dosa.
4. Perbanyakkan istighfar supaya Allah melapangkan hidup kita.
5. Berawasilah dengan istidraj kerana amat merugikan kita apabila kitadisesatkan Allah dengan nikmat dunia.
6. Akan tetapi orang-orang yang berusaha mencari hidayah Allah, maka Allah akan membantuNya.
7. Jadilah hamba yang bertaqwa kerana padanya juga ada kunci pintu rezeki.
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam.
COPY PASTE : http://myibrah.com/mengetuk-pintu-rezeki
No comments:
Post a Comment
Any comment?